online shopping!

Posted on February 25, 2009 by ibtihajs.
Categories: NUKILANku.

http://my1stop.com.my/v1/?content=betenant&ref=1023

Jom masuk My1Stop Virtual Shopping Mall: http://my1stop.com.my/v1/?ref=1023

kerenah

Posted on February 17, 2009 by ibtihajs.
Categories: NUKILANku.

Kerenah

Selama lebih seminggu bergelumang di hospital kajang.. saya telah mendapat banyak manfaat dan hikmah. Moga hikmah itu dapat terus diingati dan diinsafi. Satu perkara yang saya tak minta dan tak duga berlaku juga akhirnya walaupun bukan di hadapan mata.

kematian seorang pesakit. Dia hanya terlantar di katil sambil ditemani oleh seorang bibik yang acapkali bertemu dengan saya di surau. saya dapat mengecam bibik itu kerana bilangan yg solat di hospital teramat menyedihkan.

pada mulanya saya memang tidak bersedia untuk berhadapan dengan suasana di hospital namun lama kelamaan apabila memandangkan keuzuran ibu saya, saya dapat menerima kenyataan. saya ‘Ibu aku sudah semakin dimakan usia…’ kenyataan yang kadangkala saya tidak sedari dan sebenarnya kadang-kadang tak mahu (bukan tak mahu, belum bersedia) untuk telan.

kali pertama mengelap-ngelap badan mak dan menukarkan lampinnya dek cirit-birit yang melampau, saya sebak dan hampir menitiskan airmata. Saya cuba kebalkan diri di hadapan mak. Dan sebenarnya saya tak tahu apa yang perlu dilakukan pada mulanya. Alhamdulillah ada jururawat memberi panduan. saya terbayangkan apa yang mak lakukan kepada saya semasa kecil. pelbagai perkara yang tidak mungkin dapat dibalas termasuklah menukar lampin, memberi makan dan bersabar atas segala kerenah saya semasa kecil. dan saya tahu, saya juga pernah menjadi seorang kanak-kanak yang agak suka memberontak.

Mak semakin pulih pada hari ketiga. dia sudah boleh berbual mesra dengan rakan-rakan guru besar yang melawat. Namun agak mengejutkan, pada keesokan pagi, mak tidak bermaya kembali. saya agak sedih, tidak tahu apa yang patut dilakukan selain meletakkan tuala basah di dahi mak dan membaca yaasin. mak turut cuba menghirup sup ketam yang disediakan abah, hasil petua yang diberikan oleh guru di sekolah mak. alhamdulillah, demam berkurangan dan sel darah mak semakin bertambah dan akhirnya pulih…

hikmah bahawa kini tiba masanya untuk aku menjadi lebih matang dan bersedia mendepani cabaran masa depan.. tinggi betul ayat tu pulak. Bersedia dengan cabaran masa depan. dan aku perlu lebih banyak membaca dan menambah nilai tambah pada diri dengan ilmu lain, kemahiran lain seperti dalam penjagaan kesihatan. Seperkara lagi, aku hampir dapat menghabiskan buku ‘Seteguh Tekad’ oleh Cikgu Sidek Baba, satu buku yang memang PATUT dibaca oleh semua terutamanya anak Melayu/Islam dan golongan pendidik…juga mereka yang ingin menyuntik semangat perjuangan dalam diri.

Alhamdulillah..moga mak semakin pulih..
bersyukur atas semua ini..walaupun ada kepenatan sepanjang minggu lepas

ENDAH

Posted on February 8, 2009 by ibtihajs.
Categories: NUKILANku.
BIG Merchung, KPLI ren. 2005 MPTAA

BIG Merchung, KPLI ren. 2005 MPTAA

syair kukur kelapa

Posted on by ibtihajs.
Categories: NUKILANku.

SYAIR KUKUR KELAPA

SAKIT

Kulihat ke luar jendela. Kucari di mana matahari. Tiada. Kucari lagi dan kuluaskan pandanganku. Akhirnya ia samar-samar tampak di balik sekumpulan awan. Matahari hari ini seolah merajuk dan tidak mahu memunculkan diri. Langit mendung dan kelihatan hendak hujan lebat. Terdengar suara Kak Ngah mengerang kesakitan. Kadangkala Kak Ngah akan menjerit kesakitan. Panas katanya. Ayah kata itulah kesan rawatan kemoterapi ke atas penyakit barah yang kakak hidapi. Namun ternyata Kak Ngah insan yang cekal. Tidak pernah putus kalimah Allah dari bibirnya. Seringkali aku berdoa agar Kak Ngah disembuhkan. Ayah kelihatan agak murung. Aku tahun dia gusar akan keadaan Kak Ngah dan kos perubatannya yang kian meningkat. Ramai orang melawat dan semuanya berkumpul membacakan Surah Yaasin untuk Kak Ngah. Cikgu Sofea juga tidak ketinggalan. Dia selalu memberitahuku bahawa Kak Ngah adalah pejuang sejati. Dia adalah guru kelasku dan tinggal berhampiran dengan rumahku. Senyum manis dan tingkah sopannya itu membuatkan aku tidak jemu mendengar segala celotehnya. Surah Yaasin berkumandang menambah kehibaan hari itu. Pernah aku bertanya kehairanan tentang Surah itu kerana selalunya ia dibacakan ketika kita melawat orang yang telah meninggal dunia. Ibu berkata bahawa sebenarnya amalan membacanya tidak terhad kepada jenazah, tetapi juga kepada orang yang sedang sakit. Hatiku puas dengan jawapan itu. Ibu memang ariff dalam bab-bab agama, sungguhpun dia tidak bersekolah agama. Ini kerana dia rajin ke surau menuntut ilmu dan rajin membaca.

Terimbas kembali peristiwa di sekolah tengahari tadi. Cikgu Sofea memujukku untuk teus bertanding mewakili sekolah dalam acara bersyair. Itu memang minatku namun aku malu kepada rakan-rakanku. Mereka sering mengejekku kerana bagi mereka bersyair adalah kekampungan dan hanya budak perempuan yang bersyair, bukan budak lelaki sepertiku. Namun, Cikgu Sofea terus memberiku semangat dan keyakinan bahawa aku boleh melakukannya. Katanya, biarlah syair terus dialun agar tidak ditelan kemodenan zaman. Usah jadi pengkhianat bahasa dan bangsa, tapi jadi pemaju bahasa dan bangsa. Cikgu Sofea turut berpesan supaya aku juga patut meneruskan perjuangan sejati. Perjuangan Sejati? Adakah dengan bersyair aku telah dikira menyertai perjuangan sejati? Bukankah perjuangan seharusnya di medan perang? Kebingungan semakin menguasai diriku. Mengapakah aku tiada kelebihan lain? Mengapakah ada pertandingan bersyair di zaman ini? Mengapakah aku tidak sahaja disuruh menyertai pertandingan ‘Play Station 2’ yang memang boleh aku juarai dan tidak malu untuk disertai? Mengapa, mengapa? Aku terus murung. Kucapai sesuatu dalam poket yang diberikan oleh Cikgu Sofea semasa di sekolah tadi. Berkali-kali dia mengingatkan aku supaya membaca kandungan nota itu dan memahaminya sedalam-dalamnya. Ia tertulis:

Gagah berdiri putera perkasa, Ilmu dan budi terpancar cahaya,

Lamunanku tersentak dengan kedatangan keluarga pakcik dan makcikku yang tiba. Mereka sedih dengan keadaan anak saudara mereka yang semakin tenat, namun ada wajah ceria apabila dapat bertemu kembali dengan adik-beradik mereka masing-masing. Suasana ini begitu indah tambahan lagi apabila mereka bersalaman, berciuman tangan dan berpelukan lambang keakraban mereka. Aku juga dapat membayangkan kemeriahan seperti selalu di hari raya yang mana ianya lebih meriah daripada ini. Terlintas di fikiran, alangkah indahnya budaya ini yang diwarisi sejak dulu lagi. Di barat, menurut apa yang kubaca, budaya ini semakin pupus. Penduduk di sana sebahagiannya tidak mengenal rapat makcik, pakcik, sepupu mereka malah ada juga yang tidak mengenali langsung nenek dan datukmereka! Aku sangat bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga ini tetapi aku hiba mengenangkan keadaan Kak Ngah. Mungkinkah aku akan kehilangannya? Lamunanku tersentak sekali lagi apabila hilai tawa adik-adik sepupuku menarik perhatian. Mereka sungguh seronok bermain dengan sesuatu benda yang bewarna coklat. Ia seperti sebuah bangku kayu kecil dan mempunyai tangkai di hadapan. Pada tangkai itu, ada besi melengkung yang mempunyai besi-besi tajam berceracak. Bangku kecil itu dihiasi dengan ukiran indah awan larat seperti yang selalu diilhamkan oleh ayah dalam lukisannya. Dari lukisan itu, corak awan larat menjadi ilham kepada ayah untuk membuat ukiran kayu. Aku juga sudah boleh sedikit mewarisi kemahiran ayah. Itu salah satu simbol kesantunan dan kesenian bangsa, kata ayah. Jika ayah dapat melihat ukiran yang ternukil di atas bangku kecil itu, sudah tentu ayah akan menyukainya. Adik-adik sepupuku mengangkang di atasnya seperti menunggang kuda lagaknya. Entah dari mana datangya benda itu. Biarlah, asalkan mereka gembira.

FIKIRAN KUSUT

Hari Ahad. Hari untuk berehat. Istilah ini mungkin sesuai untuk dipakai bagi sesetengah orang namun, ianya tidak bagi ibu dan ayahku. Mereka bergilir-gilir setiap masa menjaga Kak Ngah melainkan jikalau ada Kak Long dan Bang Lang yang datang menjalankan tanggungjawab. Tiba-tiba kedengaran suara Kak Ngah terbatuk-batuk dengan suara yang lebih kuat daripada biasa. Ayah yang ketika itu menjaga Kak Ngah segera memanggil ibu. Ibu dengan pantas mendapatkan Kak Ngah dan alangkah terkejutnya kami apabila melihat darah membuak-buak keluar dari mulut Kak Ngah. Ayah mengurut-ngurut perlahan belakang badan kakak manakala ibu mengelap darah Kak Ngah. Kak Ngah terus mengucapkan kalimah ALLAH dan tidur semula. Setelah melihat keadaan Kak Ngah agak tenang, ayah memanggil ibu untuk keluar bilik. Aku menuruti langkah ibu. Sebenarnya hatiku dari tadi sangat risau dan kerisauanku bertambah apabila ayah mengatakan bahawa batuk Kak Ngah yang mengeluarkan darah tadi adalah tanda penyakitnya semakin kronik.

Pagi Isnin kemudiannya, aku masih bermain dengan persoalan sama ada mahu menyertai pertandingan syair yang diadakan Jumaat minggu hadapan atau tidak. Harapan aku hari ini agar Cikgu Sofea yang manis itu tidak ada menyebut-nyebut tentang pertandingan mambaca syair dan juga serangkap syair yang diberikan tempoh hari. Syair itu seolah pernah dibacakan oleh seseorang sebelum ini namun aku masih gagal untuk mengingatinya. Bait-bait syair berlegar-legar di fikiranku. Siapakah yang pernah membacanya agaknya? Atau, aku pernah melihatnya di mana-mana? Tingkah hatiku. Aku meneruskan pelajaran hari itu dengan bait-bait syair indah beralun dalam fikiran dan lama-kelamaan seolah-olah ia sebati dengan jiwa ini. Macam berhantu pula. Akhirnya hari itu kuakhiri dengan sedikit lega kerana Cikgu Sofea tidak hadir ke sekolah walaupun sebenarnya masih dalam kegusaran yang mendalam.

KUKUR KELAPA

Hari sudah petang. Angin sepoi-sepoi bahasa menerjah masuk ke jendela rumahku. Ia seolah-olah ingin mendamaikan hatiku. Secara tiba-tiba kedamaian itu diragut dengan suara jeritan kakak. Aku bingkas bangun dari kerusi di ruang tamu dan terus meluru ke kamar Kak Ngah. Hairan. Kak Ngah tiada di situ. Suara Kak Ngah masih kedengaran. Kali ni bertambah nyaring dan diikuti dengan tangisan. Rupa-rupanya Kak Ngah berada di dapur. Dia tercari-cari sesuatu. Aku memberanikan diri bertanya kepada Kak Ngah yang kelihatan agak berang itu akan apa yang dicarinya. Jawabnya kukur. Ibu yang baru tiba di dapur menggeleng kepala. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang dicari oleh Kak Ngah. Ibu memujuk Kak Ngah agar kembali berehat namun Kak Ngah enggan. Dia tetap mahukan ‘kukur’nya itu. Ibu yang terpaksa menuruti kehendaknya cuba mencari benda itu di bilik lain. Aku memberanikan diri sekali lagi bertanya kepada Kak Ngah tentang apakah sebenarnya yang dicarinya. Kak Ngah yang kelihatan sudah agak tenang menjelaskan rupa kukur itu dan bentuknya. Kukur sebenarnya digunakan untuk memarut kelapa. Aku cuba mengingati benda yang kulihat pada hari Sabtu yang lalu. Itukah dia?

Tiba-tiba, ada sesesorang di muka pintu dapur memberi salam. Kami menyambut salam. Rupa-rupanya Cikgu Sofea datang melawat. Di tangannya ada sesuatu yang pernah kulihat sebelum ini. Sebelum sempat aku mencapainya, Kak Ngah telah mendapatkannya. Rupa-rupanya itulah kukur yang dimaksudkan. Kak Ngah mengucapkan terima kasih dan memeluk Cikgu Sofea dengan linangan airmata. Ibu turut berterima kasih dan membawa Kak Ngah ke bilik. Kak Ngah akur dan melangkah lesu ke biliknya sambil mendakap kukur itu. Cikgu Sofea seakan dapat membaca air mukaku yang kehairanan. Dia menjelaskan bahawa benda itu dipanggil kukur kelapa. Ia digunakan oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi untuk menyiat isi buah kelapa yang tua sebelum diperah menjadi santan. Jelasnya lagi, untuk mendapatkan santan, isi kelapa yang disiat atau dikukur halus mestilah digaul dengan sedikit air dan diperah. Namun, aku masih kehairanan. Mengapa Kak Ngah sungguh sayang pada kukur kelapa yang buruk itu? Bukankah Kak Ngah sudah lama tidak memasak dan bukankah lebih mudah jika kita menggunakan serbuk santan yang dipek sahaja? Aku mahu mengajukan persoalan ini kepada Cikgu Sofea namun perasaan takut menyelimuti. Sebenarnya aku takut Cikgu Sofea menyebut lagi tentang pertandingan syair yang kian memalukan diri ini.

BERILAH KEKUATAN

Suara batuk-batuk Kak Ngah memecah keheningan malam. Aku masih belum dapat tidur mengenangkan segala kemungkinan yang akan berlaku dalam hidup ini. Aku juga memikirkan persoalan yang acapkali singgah di minda. Tentang Kak Ngah dan penyakitnya, tentang ibu dan ayah, juga tentang syair dan tiba-tiba aku terfikirkan kukur kelapa! Fikiranku kian runsing apabila teringatkan kukur kelapa Kak Ngah. Misteri sungguh. Aku berjalan ke bilik Kak Ngah dengan niat untuk menjenguknya. Sesungguhnya walaupun aku tidak berapa rapat dengannya namun aku sayang padanya, seperti adik-beradik kandungnya yang lain. Bagi ibuku juga, kasih sayangnya pada Kak Ngah sama seperti mana dia menyayangi aku dan anak-anak tirinya hasil pernikahan ayah dengan ibu Kak Long, Kak Ngah, Bang Lang dan Kak Su. Alangkah mulianya hati ibu. Ibu dikahwinkan dengan ayah setelah isteri pertama ayah meninggal dunia akibat barah. Sekarang, Kak Ngah mewarisi penyakit ibunya. Itu semua kuasa Tuhan, kata ayah. Ayah sememangnya sentiasa tenang menghadapi segalanya. Kesabarannya teruji lagi dengan keadaan Kak Ngah sekarang. Apapun yang berlaku, kata ayah, segalanya ada hikmah dan hidup mesti diteruskan. Kusedari, ayah seorang pejuang sejati. Bagaimana denganku? Aku mengeluh sahaja mengenangkan diri ini yang masih tiada arah tuju.

Sebelum sempat aku mengetuk pintu bilik Kak Ngah, kulihat Kak Ngah duduk di sofa ruang tamu. Dia duduk di sofa kegemarannya. Seperti biasa, Kak Ngah akan tersenyum lesu melihat kedatanganku dan mengajakku duduk di sampingnya. Di sebelah kanannya ada kukur kelapa lalu aku melabuhkan punggung di sebelah kirinya. Apabila aku duduk di sebelah kiri Kak Ngah, dia membacakan beberapa ayat yang kukira sajak dengan sayu. Dia membacanya berulang kali. Kali ini dengan alunan irama syair. Namun, alunan suaranya semakin lemah dan longlai. Kak Ngah sudah tidak segagah dulu, namun hatinya cekal. Jiwanya terlalu dalam terhadap syair yang dibacanya dan tba-tiba aku terasa bagaikan pernah mendengar bait-bait syair itu. Dan fikiranku yang menerawang telah terhenti apabila Kak Ngah sudah longlai di bahuku. Aku membiarkan sahaja. Hatiku berasa bertambah sayu. Aku tidak mahu kehilangannya Tuhan.. Berilah kekuatan padanya…

Tiba-tiba daun pintu bilik ibu dan ayah terbuka. Kelihatan ibu dan diikuti oleh ayah berdiri di muka pintu dan terus melangkah ke sofa tempat aku dan Kak Ngah berada. Mereka terus memapah Kak Ngah ke bilik dengan penuh berhati-hati agar Kak Ngah tidak terjaga. Sungguh murni jasa mereka, menjaga anak-anak dengan tiada berkira siang atau malam. Itulah sebabnya redha Allah kepada kita bergantung kepada keredhaan Ibu dan bapa kepada kita. Cikgu Sofea pernah menyebut peringatan itu semasa mengajar Bahasa Melayu tempoh hari. Kemudian, pandanganku tertumpu ke arah tulisan di balik kukur kelapa Kak Ngah yang ditinggalkan di atas sofa. Hatiku berdebar-debar meneliti baris-baris kata tulisan itu. Aku tidak tahu mengapa. Ianya sebuah syair. Kubaca tulisan itu berulang kali bersekali dengan sebuah nama. HASNIAH PILUS. Kuamati lagi dan seterusnya barulah kusedar bahawa itulah syair yang dibaca oleh Kak Ngah tadi. Dan dengan sepantas kilat aku teringat pada sehelai nota yang diberikan oleh Cikgu Sofea. Dengan pantas juga aku meluru ke bilikku. Ternyata, tulisan nota Cikgu Sofea sama dengan apa yang tertulis di belakang kukur kelapa Kak Ngah dan ianya diulang-ulang oleh Kak Ngah tadi. Apakah maksud semua ini? Siapakah Hasniah Pilus? Apakah kaitannya dengan Kak Ngah? Apakah kaitannya dengan Cikgu Sofea? Aku makin buntu!

MISTERI TERBONGKAR

Pintu bilikku diketuk. Aku segera membukanya. Ibu dan ayah berdiri di muka pintu. Mereka hanya ingin memastikanku sudah tidur atau belum. Aku yang dalam terpinga-pinga dengan segera meminta ibu dan ayah duduk sebentar di bilikku. Kerutan terzahir di wajah mereka tanda mereka kehairanan. Apabila mereka terlihat nota Cikgu Sofea dan kukur kelapa Kak Ngah berada di tanganku, mereka pun memulakan bicara. Ayah memulakan cerita tentang Hasniah Pilus. Beliau ialah bekas guru Bahasa Melayu Kak Ngah dan Cikgu Sofea semasa menuntut di sekolah menengah. Kebetulan waktu itu Kak Ngah dan Cikgu Sofea berkawan rapat dan mereka sama-sama meminati sastera. Tambahan pula, Allahyarhamah ibu Kak Ngah selalu membelikan buku-buku sastera dan novel buat Kak Ngah. Oleh itu, Kak Ngah telah dididik oleh dua insan yang mencintai sastera dan budaya, untuk mencintai sastera dan budaya. Banyak aktiviti berkisar sastera dan bahasa disertai dengan aktif oleh Kak Ngah dan Cikgu Sofea. Kegiatan mereka semakin rancak dengan sokongan Puan Hasniah sehinggalah Kak Ngah berjaya menyertai sayembara cerpen di peringkat kebangsaan. Ibunya dan Puan Hasniahlah menjadi sumber inspirasi utama bagi Kak Ngah. Namun, tahun kedua Kak Ngah mahu menyertai sayembara cerpen di peringkat kebangsaan, ibunya yang tersayang telah dipanggil pulang ke rahmatullah. Kehilangan yang menyayat hati itu telah meragut semangat Kak Ngah untuk menempa kejayaan sekali lagi. Di waktu itu, Puan Hasniahlah yang banyak membantu memulihkan semangatnya. Beliau sanggup dari jauh datang untuk mengambil Kak Ngah di rumah dan menghantarnya ke sekolah setiap hari semata-mata ingin membantu Kak Ngah. Tetapi, takdir Allah mengatasi segalanya. Belum pun pulih semangat Kak Ngah, Puan Hasniah pula berpindah mengikuti suaminya ke Sarawak. Berkenaan kukur kelapa itu, Puan Hasniahlah yang menghadiahkannya kepada kakak sebagai tanda kenangan.

Kehilangan sekali lagi ini bagi Kak Ngah merupakan satu tamparan hebat baginya. Kak Ngah menjadi seorang yang amat pasif, suka menyendiri dan sudah tidak mahu menyertai mana-mana aktiviti lagi. Cuma satu sahaja yang pasti akan dilakukannya, iaitu menyuruh ibu menggunakan kukur kelapa setiap kali memasak. Namun ada ketikanya ibu tidak sempat, jadi digunakannya sahaja santan serbuk yang dipek. Setiap kali kukur kelapa itu tidak digunakan, maka setiap kali itulah juga Kak Ngah akan menangis. Kak Ngah akan berkeras dan dialah yang akan memarut kelapa yang dikupasnya sendiri. Dia memarut kelapa dengan kukur kayu pemberian Puan Hasniah untuk mendapatkan santan. Sambil membuat kerja, dia akan merungut keseorangan bahawa dia mahu mengekal warisan bangsa, bukan menyelenyapkannya di arus zaman. Ibu akan mendiamkan diri dan hanya mampu tersenyum. Perubahan drastik pada Kak Ngah merupakan tamparan hebat bagi Cikgu Sofea kerana sejak itu, Kak Ngah sudah tidak seperti dahulu lagi. Tiada lagi gelak tawa dan senda gurau bersama. Tiada lagi bait-bait sajak dideklamasi bersama. Tiada lagi perlumbaan sesama mereka untuk mendapatkan novel terbaru di pasaran dan tiada lagi karya dihasilkan bersama. Daripada cerita ayah, SEJATI ialah nama Kak Ngah dan Cikgu Sofea. Tiba-tiba aku teringat.. Perjuangan Sejati!

Kini, barulah kutahu bahawa Cikgu Sofea mahu aku meneruskan perjuangan Kak Ngah yang tidak disambung dahulu. Cikgu Sofea mahu aku meneruskan tradisi SEJATI. Biarlah syair terus dialunkan agar tidak ditelan zaman. Usah jadi pengkhianat bahasa dan bangsa, tapi jadi pemaju bahasa dan bangsa. Kata-kata semangat Cikgu Sofea semakin kuat dan menebal dalam diriku. Sekarang, aku tahu apa yang harus aku lakukan. Aku harus lakukannya!

PERJUANGAN SEJATI DITERUSKAN

Hari Jumaat. Dengan sepasang Baju Melayu merah kusarung di badan, kupadankannya dengan sepasang capal pemberian ayah. Lalu, kupakai sebuah tanjak di kepala manakala sebilah keris replika kemas kusisip di pinggang. Aku melangkah ke dewan. Ramai hadirin berpusu-pusu ke sana untuk melihat acara yang dipertandingkan. Tiba giliran aku, syair dialun dengan sebaiknya. Aku mengamati dengan penuh makna tiap bait syair itu sehingga aku tidak ada rasa takut dan malu walau sepicing. Inilah warisan bangsaku. Aku tidak perlu rasa malu. Akulah hasil didikan ibu, bapa dan guruku. Aku mengalunkannya sehingga mataku tertutup dan bila kubuka, terdengar tepukan gemuruh bergema. Alhamdulillah, itulah yang termampu kuucap. Alangkah terkejutnya apabila aku turun dari pentas, aku mendapati Kak Ngah, ayah dan ibu menungguku dengan senyuman. Kak Ngah memelukku dan dia mengucapkan tahniah. Cikgu Sofea yang menjadi guru pengiring berdiri di sebelah Kak Ngah. Dia menepuk-nepuk bahuku dan berkata bahawa akulah penerus perjuangan SEJATI. Aku tersenyum puas kerana dapat membuat yang terbaik tadi. Namun apa yang paling penting, aku telah meneruskan warisan bangsa dan budaya, sekaligus aku berjaya membuatkan Kak Ngah kembali ceria. Dia berkongsi keceriaan itu dengan rakan kesayangannya setelah sekian lama ikatan sillaturrahim mereka suram dan duka. Keluargaku menunggu sehingga semua peserta mempamerkan persembahan mereka. Kak Ngah nampak sungguh menumpukan perhatian kepada setiap persembahan. Dia tekun sekali menontonnya. Selang beberapa minit, kulihat ada titis-titis air mata berguguran di pipinya. Aku membiarkan Kak Ngah membuai perasaannya. Tangisan Kak Ngah semakin lama semakin kuat dan dikuti dengan batuk-batuk yang kuat. Batuk-batuk Kak Ngah kini membimbangkan. Baru seketika ceria, Kak Ngah kemudiannya mungkin terkenangkan kisah silam. Aku terasa bersalah. Aku terus meluru ke arah Kak Ngah yang kian kuat batuknya. Aku kaget melihat banyak darah. Darah kelihatan membasahi tudung Kak Ngah. Kak Ngah dengan segera dihantar ke hospital. Hari ini semacam sebuah mimpi yang kulalui. Terngiang-ngiang kata-kata Kak Ngah sebelum dia dipapah oleh ibu dan ayah tadi. Kak Ngah mengucapkan terima kasih berulang kali padaku dan berkata, “Dik, teruskan… Dik, teruskan ya..”. Aku mendengarnya dengan linangan air mata. Sebelum bergegas ke hospital, aku dilemparkan senyuman sinis dan gelakkan daripada kawan-kawan. Dengan sinis juga aku memandang dan sempat berkata, ”Aku bukan pengkhianat bangsa, aku pejuang bangsa…”

Hari demi hari berlalu, tahun demi tahun berlalu. Pusara Kak Ngah saban bulan aku kunjungi bersama ayah dan ibu. Hiba kupandang pusara itu namunada rasa ketenangan di sebaliknya. Kak Ngah telah menemui kesembuhan akhirat apabila dipanggil Allah untuk menemui-Nya, seperti ujar Pak HAMKA dalam buku Tasawuf Moden yang kian kerap kubaca. Sesekali Cikgu Sofea akan menyertai kami, lambang tali sillaturrahim yang masih utuh terpelihara. Cikgu Sofea masih dan terus menjadi mentor dan guru bahasaku sehingga aku di tahap ini, dengan sahsiah ini. Aku, masih penyair yang dulu dan kian gagah meniti perjuangan SEJATI, bahasa dan bangsaku. Seiring dengan pelajaran yang tidak pernah kutinggalkan, diawasi dengan penuh oleh ayah, ibu dan mentorku yang manis itu. Bulan depan aku akan mewakili negara ke Pesta Seni dan Budaya Antarabangsa di Seoul, Korea. Kan kubawa semangat juang Kak Ngah dan syair kegemarannya bersama ke seantero dunia.

IBTIHAJ BINTI SAIAN

SK SEDENAK, 81010 KULAI, JOHOR.